Volkswagen Group Malaysia baru-baru ini telah memperkenalkan
Tiguan 1.4 2WD, sebuah SUV kompak
yang diimport sepenuhnya dari Jerman. Tiguan dilengkapi enjin petrol
bersesaran 1.4 liter TSI bersama sistem pengecas turbo berkembar dan pancitan
bahan api yang dipadankan dengan kotak gear DSG enam kelajuan untuk prestasi
mengujakan.
Kombinasi ini mampu menghasilkan tork maksimum 240Nm yang
bermula dari serendah 1,500rpm. Ini membolehkan Tiguan memecut dari 0 hingga
100km/j dalam tempoh 8.9 saat dengan kelajuan maksimum 198km/j. Tiguan memiliki
rating penggunaan gabungan bahan api yang mengagumkan, 71. liter/100 km.
Tiguan
yang berpacuan dua roda dilengkapi sistem penghidup enjin start/stop automatik.
Sebagai tambahan, ia turut dilengkapi sistem brek janaan semula di mana tenaga
kinetik yang terhasil sewaktu memandu dan membrek akan diubah untuk mengecas
bateri kenderaan.
Tiguan didatangkan dengan sistem pengesan mengantuk ‘Rest
Assist’, Electronic Stability Control (ESC), enam beg udara (dua di hadapan,
dua sisi dan dua curtain), tali pinggang keledar tiga poin standard dan perehat
kepala hadapan yang dioptimumkan keselamatannya. Tiguan juga dimuatkan dengan
sistem penggera anti-kecurian untuk keselamatan yang tiada tandingan.
Bahagian dalaman Tiguan dipasang dengan tempat duduk ‘Milan’
Alcantara. Ia turut dilengkapi dengan brek parkir elektrik binaan dalam bersama
ciri auto-hold, tuil gear dibalut kulit, cermin
pandang belakang anti-silau
automatik, lampu pada bahagian kaki, tempat duduk belakang boleh dilipat dengan
fungsi gelongsor, meja boleh lipat untuk tempat duduk hadapan, perehat tangan
hadapan boleh laras, tempat duduk hadapan boleh laras, sistem tempat duduk
boleh ubah dan 8 unit pembesar suara.
Dari bahagian luar, Tiguan mudah dikenali sebagai sebuah
Volkswagen. Dengan gril radiator berwarna
krom, SUV yang praktikal itu dilengkapi lampu utama jenis bi-xenon bersama
lampu nyalaan siang LED (Tech Pack). Tidak terkecuali, talaan jarak lampu utama
dan lampu ketika membelok yang dinamik (Tech Pack), lampu kabus di hadapan dan
belakang, serta cermin sisi boleh lipat secara elektrik dan boleh dipanaskan
(Tech Pack).
Biarpun tampil elegan, gayaannya yang rugged dan agresif
diserlahkan menerusi rim aloi ‘Boston’ bersaiz 17 inci dan roof rail berwarna
perak. Bukan itu sahaja, lampu keliling, kaca penebat haba, alat pengesan hujan
dan parkir belakang, di samping penampilannya yang lebih lebar dan rendah
memberikan Tiguan profil yang lebih tajam.
Tiguan didatangkan dalam lima pilihan warna: putih (Pure White),
perak (Reflex Silver), Titanium Beige, kelabu (Pepper Grey) dan coklat (Toffee
Brown). Tiguan ditawarkan pada harga RM178,888 dan pilihan Tech Pack berharga
RM188,888.
No comments:
Post a Comment