KUALA LUMPUR: Golongan yang memandu kenderaan
mewah dan berkuasa tinggi harus sedar bahawa kemalangan maut boleh berlaku jika
mereka memandu dengan laju dan cuai, kata Ketua Pengarah Institut Penyelidikan
Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof Dr Wong Shaw Voon. Katanya,
walaupun dilengkapi pelbagai teknologi termoden, hakikatnya kenderaan itu tidak
'kebal' daripada kemalangan yang boleh meragut nyawa. "Sememangnya
kenderaan mewah atau berkuasa tinggi direka dengan kategori tertentu termasuk
mampu mencecah kelajuan sehingga 200 kilometer sejam namun ini tidak bermakna
jika berlaku kemalangan, kenderaan dan pemandu itu dijamin terselamat,"
katanya ketika dihubungi BERNAMA, hari ini.
Beliau
berkata, pemandu juga kerapkali memandu melebihi had laju yang ditetapkan dan
memberi alasan sedikit peningkatan kelajuan tidak akan mendatangkan sebarang
masalah. "Sebenarnya tanggapan itu tidak benar, memandu melebihi had laju,
biarpun hanya sedikit peningkatan membawa risiko yang besar," katanya.
Wong berkata, setiap jalan raya sudah direka bentuk dengan kategori tertentu
dan had laju yang ditetapkan juga berlandaskan reka bentuk jalan raya itu.
"Pengguna jalan raya perlu ingat bahawa kita bukan 'Superman' atau 'Iron
Man', kita adalah manusia, adalah penting untuk mencegah pelanggaran berlaku
sebelum mengubati yang sudah parah atau menyesali apabila sudah kehilangan
nyawa," katanya.
Sementara
itu, Ketua Unit Analisa Tingkah Laku dan Penilaian MIROS, Noradrenalina Isah,
berkata kajian MIROS pada 2012 mendapati pemandu berusia 42 tahun ke bawah
paling cenderung untuk melakukan kesalahan jalan raya termasuk memandu melebihi
had laju. "Ini kerana pemandu di usia itu kurang pengalaman disaman, maka
mereka beranggapan kurang berisiko dikenakan tindakan seterusnya menjadikan
mereka lebih berani melanggar peraturan," katanya. Noradrenalina berkata,
kajian mengikut jantina juga mendapati kaum lelaki dua kali ganda lebih
cenderung melakukan kesalahan jalan raya berbanding wanita. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment